Review: Testing Coverage U Mobile
2016 merupakan tahun dimana telco di Malaysia mula sedar dan bangkit untuk pelanggannya yang semakin kerakusan data. Kita sudah melihat sendiri bagaimana Maxis terpaksa memohon maaf secara terbuka kerana lambat bertindak sewaktu perang harga diantara pesaingnya semakin rancak saban hari. Malah, kami juga telahpun mencuba dan membandingkan kesemua jenis pelan postpaid sedia ada di Malaysia supaya pengguna seperti anda dapat membuat pilihan yang bijak berdasarkan keperluan masing-masing. Genap sebulan kemudian, saya telah mencuba dan menguji pelan postpaid terbaru U Mobile yang lengkap dengan 15GB data pada kadar RM70 sebulan.
Pendaftaran dan Penukaran
Sebelum ini saya adalah pengguna Digi Smart Prepaid. Memandangkan saya adalah pengguna tegar data dan sering kehabisan kredit apabila ingin membuat panggilan, pengumuman pelan Hero P70 terus menarik minat saya untuk bertukar ke U Mobile pada hari ia dilancarkan. Proses penukaran dari Digi ke U Mobile sangat mudah dengan servis MNP (Mobile Number Portability) dimana saya dapat kekalkan nombor yang sama walaupun berlainan rangkaian. Penukaran ini dibuat di sebuah dealer U Mobile di Aeon Ampang. Memandangkan saya menggunakan iPhone, saya perlu membayar tambahan sebanyak RM10 ke atas RM70 bagi pelan yang diingini kerana iPhone saya menggunakan nano SIM. Jika anda dapat memotong kad SIM anda sendiri, jimatlah RM10.
Pengaktifan
Saya diberitahu bahawa proses penukaran dari Digi ke U Mobile mengambil masa sehingga 48 jam. Namun saya dapat mengaktifkannya dalam masa 24 jam sahaja sejurus selepas Digi menghantar SMS untuk mengesahkan penukaran rangkaian saya ke U Mobile. Proses ini hanya berjaya dilakukan selepas saya menambah nilai RM5 pada akaun Digi saya kerana penukaran ini memerlukan SIM yang aktif dan mempunyai kredit. Selepas SIM Digi saya memaparkan "No Service" pada status bar, saya terus menggantikannya dengan SIM U Mobile. Lengkap dengan 15GB data, saya terus pulang dari pejabat di Hulu Langat ke Bukit Jalil sambil stream radio online Beats 1 sepanjang jalan semasa memandu. Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam kerana kesesakan trafik tidaklah suram kerana U Mobile dapat stream Beats 1 secara berterusan tanpa buffer. Sebelum ini, Digi kerap buffer di beberapa bahagian sekitar Bukit Ampang walaupun ia dilengkapi dengan Digi Music Freedom dimana saya dapat stream Beats 1 tanpa menggunakan kuota.
Sepanjang tempoh perjalanan dari Hulu Langat ke Bukit Jalil, status rangkaiannya tetap memaparkan signal 3G dengan bar penuh. Saya berpendapat bahawa mungkin liputan 4G LTE bagi U Mobile masih belum cukup luas namun sangkaan saya salah apabila diberitahu bahawa saya perlu mengaktifkan 4G LTE terlebih dahulu melalui SMS. Hantarkan teks LTE ON ke 28118 dan ia akan diaktifkan dalam masa 24 jam. Ini merupakan sesuatu yang janggal dan pihak U Mobile seharusnya mengaktifkan 4G LTE secara automatik tanpa melibatkan pengguna untuk mengaktifkannya secara manual.
Penggunaan
Sejak pemotongan Unifi di rumah saya di Bukit Jalil, saya amat memerlukan jumlah data yang tinggi. Sejurus selepas saya membuat penyambungan hotspot pada iMac, saya amat berpuas hati dengan kelajuan dan kepantasan U Mobile dalam mengakses laman web walaupun dengan signal 3G. Ianya stabil, konsisten dan sangat mudah untuk saya melihat status kuota pelan dengan menggunakan aplikasi MyUMobile. Tambahan lagi dengan panggilan ke semua telco tanpa had, saya tidak perlu lagi risau tentang kehabisan minit mahupun kredit; masalah yang saya sering hadapi sewaktu menggunakan Digi Smart Prepaid.
U Mobile juga menawarkan unlimited video streaming termasuk YouTube dan Tonton dari jam 2 - 10 pagi setiap hari. Malangnya, ia mempunyai had kuota sebanyak 500MB sahaja setiap hari dan bukanlah unlimited kuota seperti yang disangka.
Liputan Luaran
U Mobile mempunyai liputan 3G dan 4G LTE yang konsisten di kawasan bandar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sepanjang penggunaan saya. Ini kerana saya tidaklah menguji sesuatu liputan telco itu berdasarkan speedtest semata-mata; saya pengguna tegar streaming. Di luar, saya sentiasa stream lagu dengan Apple Music dan Beats 1. Selagi ia berjalan dengan lancar tanpa sekatan dan buffer, telco tersebut mempunyai liputan yang terbaik buat saya. Kaedah menguji kestabilan dan kelajuan internet sesuatu telco itu melalui streaming ini adalah lebih efektif kerana data akan digunakan sepanjang streaming itu aktif, terutama sekali radio online.
Liputan Dalaman
Walaupun U Mobile mempunyai kekuatan liputan yang memberangsangkan di luar, ia tidaklah sehebat itu di dalam. Misalnya, U Mobile langsung tidak mempunyai liputan 4G LTE di dalam rumah. Tambahan lagi, ia terus memaparkan "No Service" sejurus selepas saya memasuki lif ke tingkat 6. Saya langsung tidak mempunyai masalah ini dengan Digi. Selain dari itu, U Mobile juga kebelakangan ini mempunyai latency yang semakin teruk di Bukit Jalil, walaupun ia merupakan telco yang terpantas di Malaysia. Latency ini bermakna bagaimana sesuatu telco itu akan aktif sewaktu penghantaran dan penerimaan data antara lokasi pengguna dengan menara pencawang yang terdekat. Anda dapat menguji sendiri telco manakah yang terbaik di sekililing anda melalui aplikasi ini.
Pada pertengahan bulan dimana saya perlu menghadiri conference di salah sebuah hotel terkemuka di sekitar Kuala Lumpur, liputan U Mobile amatlah mengecewakan. Sama ada hotel itu sendiri tidak dilengkapi dengan pencawang signal U Mobile yang terdekat atau trafik terlampau tinggi di kawasan hotel itu. Ia amatlah teruk sehingga saya langsung tidak dapat menggunakan WhatsApp sewaktu conference itu berjalan. Saya berharap ia hanyalah kebetulan dan bersifat sementara.
Liputan Luar Bandar
Saya berpeluang untuk ke Melaka selama 2 hari untuk menguji keberkesanan liputan U Mobile. Pada kali pertama saya bertolak dari Bukit Jalil ke Melaka, saya terus stream Beats 1 sepanjang perjalanan. Ianya sangat stabil selama sejam perjalanan saya sehingga saya tiba di tol Simpang Ampat dimana coverage U Mobile terus terputus dari dunia. Seharian saya langsung tidak dapat menggunakan data saya. Malah, panggilan juga sering terputus dan No Service kerap dipaparkan pada status bar iPhone saya walaupun saya kerap mengaktif dan menyaktifkan Airplane Mode untuk mencari signal. Malam itu sejurus saya bertolak terus ke Bangi, saya masih lagi tidak mendapat liputan data. Situasi ini benar-benar menguji kesabaran saya sehingga akhirnya saya dapat menggunakannya setelah menutup dan menghidupkan semula iPhone saya di Bangi. Sewaktu menggunakan Digi, walaupun signalnya tidaklah seelok mana di Melaka, ia tetap berusaha untuk mengaktifkan data dan membuat penyambungan sendiri tanpa melibatkan input pengguna. Tetapi tidak dengan U Mobile. Mungkin signalnya amatlah teruk di Melaka.
Selang seminggu, saya ke Melaka semula buat kali kedua. Saya sengaja tidak menggunakan sebarang jenis streaming atau aplikasi yang memakan banyak data sepanjang perjalanan. Liputannya lebih baik sedikit sewaktu perjalanan saya seharian di Bandar Melaka dan Alor Gajah. Saya tidak pasti apa yang tidak kena pada kali pertama saya tiba di Melaka namun saya dapat kaitkan bahawa mungkin liputan U Mobile masih belum stabil di Melaka.
Kesimpulan
Ini bukanlah ujian coverage yang komprehensif namun ia cukup untuk memberikan anda gambaran bahawa U Mobile tidaklah mempunyai liputan yang stabil meskipun ia menawarkan kelajuan capaian internet terpantas di Malaysia dengan had kuota yang menarik. Saya akan terus menggunakan U Mobile untuk sebulan lagi bagi menguji liputannya di Terengganu pula pada bulan Mei ini. Bagi anda yang teringin untuk bertukar ke U Mobile, saya cadangkan anda untuk menggunakannya jika anda tinggal di bandar dan jarang bergerak jauh dari satu tempat ke satu tempat. Malah, saya menggalakkan anda untuk menggunakan U Mobile sebagai broadband di rumah kerana ianya lebih stabil dan konsisten selagi anda menggunakannya secara setempat.
Perbandingan Telco U Mobile Dengan Yang Lain: Rujuk di sini
Pelan Yang Saya Gunakan: U Mobile Postpaid Hero P70
Pas Data YouTube Yang Disarankan: Digi Video Freedom
Cara Saya Menguji Keberkesanan Signal: OpenSignal